suria

Palsukan Sijil Kematian Michael Soosai: Rayuan Tiga Lelaki Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat mengekalkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 terhadap tiga lelaki kerana memalsukan sijil kematian penjenayah dikehendaki Michael Soosai, 10 tahun lepas.

Hakim Kamardin Hashim memutuskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman bekas atendan Hospital Kuala Lumpur (HKL) K. Subramaniam, 36, peniaga besi lusuh V. Sanjeev Kumar, 37, dan bekas tunang anak Soosai iaitu J. Kumaresan, 31, tiada merit.

"Oleh itu rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen ditolak. Hukuman penjara berkuat kuasa pada Jumaat," katanya.

Bagaimanapun Kamardin membenarkan permohonan peguam Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuan itu selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Julai 2010, hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sekeri Mamat menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 bagi setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, iaitu memalsukan daftar kematian, permit kubur dan sijil kematian.

Bagi pertuduhan keempat iaitu menipu seorang doktor supaya mengeluarkan sijil kematian itu kesemua tertuduh dipenjara dua tahun.

Bagaimanapun mereka hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Subramaniam dan seorang lagi yang masih bebas, didakwa menipu Dr Wan Mohamed Zamri Wan Nawawi, 48, untuk mengeluarkan sijil kematian bagi Soosai di Bilik Mayat HKL antara 11 pagi dan 3 petang pada 12 September 2003.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat pula, Subramaniam bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa memalsukan daftar kematian HKL bertarikh 12 September 2003, permit pengebumian dan sijil kematian dengan niat untuk menipu.

Sementara itu Kumaresan dan Sanjeev dituduh bersuhabat dengan Subramaniam melakukan empat kesalahan itu di tempat dan tarikh sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir. - BERNAMA

Artikel Lain