suria

28 Pemimpin Pakatan Akan Dipanggil Berhubung Himpunan 8 Mei

PETALING JAYA: Polis akan menanggil 28 pemimpin pembangkang berhubung ceramah berunsur hasutan berkaitan dengan perhimpunan Pakatan Rakyat di Stadium Kelana Jaya pada malam Rabu.

Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner (DCP), Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata 28 individu berkenaan didapati menyampaikan ceramah berbaur hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dalam perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata pihak pengajur juga gagal memberi notis 10 hari lebih awal kepada pihak polis sebelum mengadakan perhimpunan tersebut, seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak penganjur telah menimbulkan rasa tidak senang kepada penduduk sekitar dan orang awam kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di semua laluan yang menghala ke stadium berkenaan.

Jelasnya, pihak polis menerima notis berhubung perhimpunan berkenaan pada pukul 12.20 tengah hari Rabu, dan telah menasihatkan pihak penganjur menangguhkan perhimpunan berkenaan.

DCP Tun Hisan berkata sekiranya pihak penganjur menangguhkan perhimpunan tersebut kepada tarikh lain, pihak polis akan menasihatkan mereka mengikut jumlah kapasiti stadium dan menyediakan ruang tempat letak kereta yang lebih banyak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain