suria

Malaysia, Australia Siasat Dakwaan Kekejaman Terhadap Kambing

PUTRAJAYA: Malaysia sedang bekerjasama dengan Australia bagi menyiasat dakwaan kekejaman terhadap kambing dari negara itu yang dieksport ke negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata jabatan itu telahpun menerima video yang didakwa menunjukkan kekejaman tersebut pada Khamis dan masih menjalankan siasatan mengenainya.

"Penyiasatan sudah bermula dan kita sedang meneliti kesahihan video ini dan jika benar, di mana ianya berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Dr Abd Aziz berkata maklumat awal mendapati perkara itu berlaku di sekitar negeri Selangor.

Beliau berkata penjelasan lanjut akan diberi pada sidang media Isnin ini.

Laporan Bernama sebelum ini menyebut Department of Agriculture and Fisheries (DAFF) dan wakil industri eksport ternakan Australia sedang menyiasat dakwaan kekejaman itu.

Ia berikutan klip video yang dikatakan memaparkan kekejaman tersebut yang dibekalkan oleh pertubuhan hak haiwan, Animals Australia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain