Kerajaan Akan Mula Insiatif Ke Arah Penyatuan Nasional - PM - Semasa | mStar

Kerajaan Akan Mula Insiatif Ke Arah Penyatuan Nasional - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan melaksanakan usaha ke arah penyatuan nasional supaya sebarang bentuk ekstremis dan isu perkauman tidak sihat bagi Malaysia dapat ditangani.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan akan meneruskan usaha menggalakkan kesederhanaan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) mementingkan keharmonian kaum dan perpaduan kebangsaan," katanya pada akaun Facebook beliau.

Beliau membuat komen tersebut sejurus BN mendapat mandat baharu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)apabila menguasai 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membolehkannya membentuk kerajaan.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada Isnin.

Dalam mesej di laman Twitter sejurus selepas upacara angkat sumpah itu, Najib berkata tanggungjawabnya kini adalah kepada setiap rakyat Malaysia.

Najib turut menerima ucapan tahniah dalam tweet daripada rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

"Tahniah Najib Razak atas kemenangan anda pada pilihan raya! Harap untuk meneruskan hubungan rakan perkongsian yang cemerlang kami," kata Lee.

Ucapan serupa disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone menerusi tweet dengan berbunyi: "Tahniah kepada Barisan Nasional atas perolehan majorti di Parlimen."

Akaun twitter Najib turut dibanjiri dengan mesej tahniah dari selebriti tempatan seperti Datuk Aznil Hj Nawawi, Thanuja Ananthan, Wardina Safiyyah dan Nurul Syuhada Nurul Ain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi