suria

Zambry Minta Rakyat Tidak Terpengaruh Tipu Muslihat Pembangkang

LUMUT: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengingatkan rakyat Perak supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai muslihat Pakatan Rakyat untuk meraih undi Ahad ini.

Beliau berkata pihak tersebut akan menggunakan pelbagai cara untuk mengalih sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang saat akhir tempoh berkempen.

"Kalau kita lihat cara mereka, jelas menunjukkan bahawa mereka berada di ambang kekalahan.

"Tetapi untuk tidak menerima kekalahan itu, mereka akan tonjolkan drama seolah-olah sedang berlaku penipuan secara besar-besaran dalam pilihan raya kali ini," katanya kepada pemberita di majlis mesra bersama rakyat di Dewan Kampung Kayan di sini, Jumaat.

Beliau mengulas dakwaan Pakatan Rakyat bahawa BN membawa masuk pengundi asing menggunakan kapal terbang dan yang terbaru mereka mendakwa kotak berisi kertas undi dikeluarkan dari lokap simpanan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung tanpa pengetahuan mereka.

Zambry berkata Pakatan Rakyat akan terus melakukan fitnah melalui media asing dan media sosial serta laman web terhadap kerajaan.

"Saya menyeru kepada rakyat supaya tidak termakan dengan segala perbuatan yang sedang mereka lakukan.

"Biarlah kita berpolitik dalam keadaan sihat dengan memberikan dasar-dasar yang terbaik kepada rakyat dan biarkanlah rakyat buat penilaian," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain