suria

Mandat Rakyat Penting Untuk Pastikan Projek Pengangkutan Awam Diteruskan - Syed Hamid

KUALA LUMPUR: Mandat rakyat kepada parti pemerintah sedia ada sangat penting dalam memastikan semua program meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dapat dilaksana secara berterusan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata ini selari dengan hasrat SPAD untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat kepada 40 peratus menjelang 2030.

"Berbanding manifeso pakatan pembangkang untuk pengangkutan awam, ia hanya janji palsu, tidak berasas, itu sebab kita minta rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Kelestarian Pengangkutan Bandar 2013, di sini Selasa.

Dalam udapannya, Syed Hamid mengumumkan penubuhan Akademi Pengangkutan Awam yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk pelbagai pihak yang terlibat dalam industri itu.

"SPAD mahu memain peranan sebagai pusat sumber, yang menyasarkan pengawal selia, agensi kerajaan, pengusaha pengangkutan awam," katanya.

Syed Hamid berkata inilah kali pertama dalam sejarah negara pihak berkuasa memainkan peranan yang selama ini banyak diusahakan oleh pusat-pusat kajian universiti dan pertubuhan bukan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain