suria

BN Amal Politik 'Lebihkan Bekerja, Kurangkan Bercakap ' - Taib Mahmud

KUCHING: Pendekatan politik "Lebihkan Bekerja, Kurangkan Bercakap" yang diamalkan Barisan Nasional (BN) membolehkan pelbagai transformasi ke arah kebaikan dapat dilaksanakan di Sarawak sejak negeri ini mencapai kemerdekaan 50 tahun lepas, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Beliau berkata Malaysia berjaya meletakkan negeri ini di barisan hadapan kemajuan hingga membolehkan pendapatan per kapita 2.2 juta penduduk Sarawak sekarang melonjak kepada RM41,000 daripada hanya RM680 pada era awal kemerdekaan apabila penduduknya hanya berjumlah 800,000 orang.

"Saya dengan rendah hati ingin menyatakan bahawa pembangkang tidak boleh menyesuaikan diri dengan Malaysia yang pesat berkembang kerana mereka tidak dapat meletakkan politik mereka dalam mod berkhidmat secara serius, dan sebaliknya hanya melaungkan propaganda," kata beliau.

Abdul Taib berkata demikian ketika merasmikan upacara menjajarkan semula tapak pembinaan dan menaik taraf jalan raya dua lorong sepanjang lapan kilometer berharga RM145 juta dari Bulatan Emart di Matang di sini untuk menghubungkannya dengan Jalan Batu Kawa melalui cadangan pembinaan sebuah jambatan baharu merentangi Sungai Sarawak.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Pembangunan Infrastruktur Sarawak Datuk Seri Michael Manyin, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, yang juga penyandang kerusi parlimen Petra Jaya dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini, dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng (penyandang kerusi Stampin dan calon BN pada PRU13)).

Abdul Taib berkata projek itu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya seperti yang dimahukan rakyat di samping menjadi laluan alternatif untuk ke beberapa kawasan seperti Samarahan serta untuk memenuhi keperluan pembangunan pesat yang berlaku di sekitar kawasan Matang.

Kata beliau rakyat dapat melihat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempertahankan kerusi parlimen Pekan di Pahang pada pilihan raya umum kali ini, mampu menerajui dan membawa perubahan melalui pelbagai program pembangunan untuk membolehkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi. "Setelah melihat cara beliau menyusun pentadbiran kerajaan sepanjang empat tahun lepas, saya percaya tiada seorangpun dariada pembangkang yang mampu melakukan separuh daripada apa yang beliau capai setakat in," katanya sambil menggesa rakyat supaya memberi sokongan kepada perdana menteri dengan memberi mandat baharu kepada semua calon BN pada pilihan raya umum ini.

Mengenai calon BN bagi kerusi Petra Jaya dan Stampin, Abdul Taib berkata dua calon itu telah teruji kebolehan mereka dan merupakan wakil yang boleh diharapkan untuk berkhidmat kepada rakyat, manakala calon pembangkang pula merupakan "risiko yang tidak diketahui dan yang belum teruji dan terbukti kemampuan mereka."

Sementara itu, Manyin berkata para kontraktor dipelawa mengemukakan bida untuk projek berkenaan, yang dijangka mula dilaksanakan menjelang pertengahan 2014 dan dijadual siap dalam masa dua tahun di bawah fasa pertama.

Terdapat juga cadangan untuk membina tambak menyeberangi Sungai Sarawak, yang akan berfungsi sebagai kawasan tadahan air atau empangan untuk membekalkan air kepada rakyat pada musim kemarau, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain