suria

Orang Muda & Pengundi Atas Pagar Tumpuan Calon BN Langkawi

LANGKAWI: Mendekati golongan muda yang kebanyakannya pengundi atas pagar menerusi medium yang digemari golongan terbabit merupakan pendekatan yang diambil calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad dalam memastikan kawasan Parlimen itu kekal milik BN.

Nawawi, 52, yang dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, berkata 45 peratus daripada 37,536 pengundi di pulau peranginan itu adalah pengundi muda dan ramai yang akan mengundi buat pertama kali.

Beliau turut menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendekati para pengundi. "Pihak saya menggunakan jentera BN untuk memikat hati pengundi atas pagar ini bagi menyokong BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti," katanya di sini hari ini. Selain itu, beliau akan mengadakan kempen skala besar di pulau ini dengan mengedar risalah kepada semua pengundi yang dikenal pasti.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan kempen kecil secara berkelompok di setiap kawasan kampung yang terpencil di pulau ini.

Pada PRU13, Nawawi ditentang calon PKR, Datuk Ahmad Abdullah dan calon Bebas Marina Hussein.

Penyandang kerusi DUN Ayer Hangat dari BN, Mohd Rawi Abd Hamid akan ditentang calon PAS Zubir Ahmad manakala kerusi DUN Kuah, calon BN Nor Saidi Nanyan ditentang calon PKR Datuk Ahmad Kasim dan calon Bebas Zaflee Pakwanteh.

Sementara itu, Nor Saidi berkata beliau terpaksa mengambil pendekatan berbeza dalam kempennya di Pulau Langkawi dan Pulau Tuba. Langkawi mempunyai 99 pulau dengan hanya Pulau Langkawi dan Pulau Tuba yang berpenghuni. -BERNAMA

Artikel Lain