suria

Pemandu Teksi Didakwa Culik Pelajar Korea

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi pada Jumaat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menculik seorang pelajar perempuan warga Korea pada Februari lepas.

S. Prakash Kumar, 39, dan seorang tukang cuci kereta A.J. Joseph Aaron, 26, bersama-sama didakwa menculik pelajar berusia 15 tahun itu bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM40,000 di hadapan sebuah restoran di Jalan Solaris, Brickfields di sini pada 4.30 petang 12 Feb lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin dan mahkamah menetapkan 18 Jun untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne.

Di Mahkamah Sesyen di sini, beliau juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menyamun tiga mangsa, dua bulan lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Prakash Kumar dan Joseph Aaron bersama-sama didakwa melakukan samun wang tunai RM11, kad pengenalan dan telefon bimbit milik Yew Lioh Wen, 24, di Jalan Sri Petaling, Brickfields, di sini pada 8 pagi 4 Februari lepas.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan samun wang tunai RM5,600, dan tujuh barang kemas termasuk sepasang subang emas dan dua rantai leher emas milik seorang warga asing Ruqiya Abdul Hussein di Jalan Bukit Desa, Brickfields di sini pada 6 petang, 7 Februari lepas.

Mereka yang tidak diwakili peguam itu juga didakwa melakukan rompak berkumpulan wang tunai RM3,800 milik Fung Yizhen, 24, di Kondominium Pantai Hill Park, Brickfields di sini pada 10.43 malam 9 Mac lepas.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Azman Mustapha membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 Mei untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat.

Pada Rabu lepas, Prakash Kumar didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan merogol seorang pelancong warganegara Amerika Syarikat pada 12 Mac lepas manakala di Petaling Jaya, dia bersama-sama dua lelaki didakwa di tiga mahkamah berasingan terhadap pertuduhan culik dan rompak berkumpulan ke atas wanita itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain