suria

DAP Tuntut Johor Jaya Lepas PKR Ambil Alih Segamat

JOHOR BAHARU: Ibarat tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain, mungkin itulah yang boleh diumpamakan tentang parti DAP dan PKR yang masih berebut untuk meletakkan calon masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri Johor Jaya.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Dr Ahmad Faidhi Saidi dengan tegas menyatakan DUN Johor Jaya adalah milik mereka namun hari ini Penasihat Lim Kit Siang menyatakan DAP akan bertanding di kawasan itu berikutan pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng dinamakan calon untuk kerusi parlimen Segamat yang ditandingi DAP pada pilihan raya 2008.

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan Chua, yang sebelum ini mahu bertanding di Gelang Patah, akan menjadi calon di Segamat.

Menulis dalam blognya, Lim berkata keputusannya bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah tidak termasuk dalam persefahaman pertukaran kerusi Parlimen antara DAP dan PKR.

Katanya persetujuan DAP untuk PKR mengambil alih kerusi Segamat adalah atas syarat DAP dan PKR menyelesaikan pertikaian agihan kerusi dengan DAP bertanding tujuh kawasan parlimen dan 15 kerusi dewan undangan negeri termasuk Johor Jaya.

"Dengan pengumuman Anwar, ia boleh dikira bahawa keadaan itu bergantung atas persetujuan DAP untuk membiarkan PKR bertanding di kerusi Parlimen Segamat yang dipersetujui kepimpinan PKR, iaitu DAP akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 15 kerusi dewan undangan negeri (termasuk Johor Jaya)," katanya.

Perkembangan ini amat berbeza sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan Dr Ahmad Faidhi sebelum ini bahawa penasihat DAP itu diberi laluan di Gelang Patah dan sebagai balasan PKR diberikan kerusi DAP di Parlimen Segamat.

Setiausaha Kerja PKR Johor R.Yunesvawaran mempertahankan DU NJohor Jaya adalah milik PKR.

"Johor Jaya adalah milik PKR dan kalau ikut perjanjian sebelum ini kita benar Kit Siang bertanding di Gelang Patah yang merupakan kelas A dan mereka memberikan kita Parlimen Segamat yang merupakan kelas C.

"Walau apapun yang dikatakan beliau (dalam blog) itu masih belum ada pengumuman rasmi. Perbincangan kerusi peringkat DUN kini hampir selesai dan kedudukan beberapa kerusi kini masih lagi di peringkat perbincangan pucuk pimpinan.

"Kita tunggulah Pengerusi (Chua Jui Meng) umum nanti sebab beliau sendiri baru turun padang di Segamat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Sebelum ini Dr Ahmad Faidhi telah menamakan Ketua Biro Guamannya, Jimmy Puah sebagai calon di kawasan itu, manakala Kit Siang mengumumkan Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY, Liow Cai Tung, 27 untuk bertanding di kawasan itu. -BERNAMA

Artikel Lain