suria

Bank Rakyat Akan Lantik Dua Anggota Lembaga Pengarah Baru

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat merancang melantik dua wakil dari kalangan para pemegang saham bank itu untuk menganggotai Lembaga Pengarahnya pada tahun kewangannya yang berakhir 31 Disember, 2013.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri berkata kementerian akan menimbangkan satu senarai para pemegang saham yang layak sebelum mengemukakannya kepada Bank Negara Malaysia.

Katanya hasrat untuk melantik para pemegang saham menganggotai Lembaga Pengarah Bank Rakyat adalah sejajar dengan permintaan para pemegang saham di dalam mesyuarat para pemegang saham setiap tahun.

Bank Rakyat adalah satu entiti di bawah budi bicara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Saya boleh melantik mereka setelah mendapat kelulusan daripada Bank Negara. Nama-nama ini akan dihantar ke Bank Negara untuk ditapis terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di luar jadual mesyuarat agung tahunan Bank Rakyat Sabtu.

Bank itu mempunyai 947,541 pemegang saham, yang terdiri daripada individu dan koperasi.

Kini, Bank Rakyat mempunyai lapan wakil sebagai anggota Lembaga Pengarahnya.

Berdasarkan Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas 202) 1978, kesemua anggota Lembaga Pengarahnya dilantik oleh Menteri.

Setiap pelantikan awal tidak melebihi dua tahun dan boleh dilantik semula. - BERNAMA

Artikel Lain