suria

PM Bidas Cadangan Pembangkang Tubuh Jawatankuasa Parlimen Mengenai Petronas

KUALA LUMPUR: Ikrar pembangkang untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai Petronas boleh menyebabkan syarikat minyak nasional itu hilang kebebasan dan fleksibiliti dalam mengurus operasinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pendirian pembangkang berhubung perkara itu bercanggah dengan kepentingan Petronas.

Katanya rancangan pembangkang itu juga berbeza dengan keyakinan dan kepercayaan yang ditunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap syarikat minyak gergasi itu. "Janji ini terkandung dalam manifesto mereka. Dalam erti kata lain, anggota parlimen boleh memanggil Petronas atau presidennya (menghadap jawatankuasa itu) untuk diberi perintah.

"...apakah yang akan terjadi kepada kebebasan dan fleksibiliti Petronas?" tanya Najib kepada warga Petronas pada satu perjumpaan di sini, Selasa.

Beliau berkata kerajaan BN yang ada sekarang memberi ruang yang sewajarnya kepada Petronas untuk membuat keputusan. Sebagai contoh, kata Najib,beberapa "tender besar" berkaitan Petronas dirujuk kepada Perbendaharaan beberapa bulan lepas. "Tapi, kata saya, 'tak payahlah', kenapa pula saya yang patut buat keputusan...biarlah lembaga (Petronas) yang membuatnya. Maka, perkara itu pun diserah balik kepada Petronas.

"Bukan saya yang patut buat keputusan muktamad. Saya percaya kepada lembaga...biarlah mereka yang membuat keputusan. Saya tak mahu buat keputusan mengenai tender besar," katanya ketika memberi penjelasan tentang hubungan antara kerajaan dan syarikat itu.

Dalam manifesto mereka untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, pembangkang, antara lain, merancang untuk memperkenalkan sistem jawatankuasa pilihan khas parlimen bagi bidang utama seperti kewangan, keselamatan, pendidikan, pertahanan dan Petronas.

Mereka mendakwa langkah itu diambil untuk meningkatkan keberkesanan fungsi timbang tara yang dimainkan Parlimen. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain