suria

Tolak Tawaran 10 Minit Di RTM Bukti Pembangkang Takut

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang menolak tawaran kerajaan membentangkan manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-13 mereka melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), membuktikan mereka takut tidak dapat menandingi manifesto Barisan Nasional (BN), menurut beberapa pemerhati.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Dr Zainal Kling pada Rabu berkata pembangkang seharusnya menerima tawaran itu sekiranya mereka yakin skop manifesto yang ditawarkan boleh memanfaatkan rakyat dan benar-benar boleh direalisasikan, jika menang PRU13.

"Tetapi mereka ini dalam berkempen untuk pilihan raya lebih banyak memburuk-burukkan pihak lain, menyebabkan mereka akhirnya memberikan banyak alasan untuk menutup kelemahan sendiri termasuk menolak tawaran yang diberikan," katanya semasa dihubungi Bernama di sini.

Selain itu, Zainal juga menyifatkan pembangkang tidak berani untuk membentangkan manifesto secara terbuka kerana PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sehaluan dan mempunyai matlamat perjuangan yang berbeza walaupun berada dalam kapal yang sama.

Pada Selasa, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu sidang media bahawa mereka mengikut langkah PAS dan DAP menolak tawaran kerajaan untuk muncul 10 minit membentangkan manifesto di RTM selepas pembubaran Dewan Rakyat.

Tawaran itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 22 Mac lalu dan semua parti politik diberi masa selama 10 minit untuk mengemukakan skop dan manifesto mereka.

Sementara itu, bekas Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Zainal Abidin Borhan berkata pembangkang tidak sepatutnya menolak tawaran yang diberikan 'bulat-bulat' kerana ini peluang mereka muncul di saluran media rasmi dengan manifesto mereka.

Beliau menambah kata pembangkang juga tidak sepatutnya mempersoal tempoh masa 10 minit yang diberikan, sebaliknya mengambil peluang yang ada terlebih dahulu sebelum memohon untuk dipanjangkan tempoh penyiaran jika manifesto mereka memerlukan lebih masa.

"Tempoh 10 minit boleh dimanfaatkan secara baik sekiranya pembangkang kreatif dalam mengiklankan manifesto mereka seperti menggunakan tayangan slaid berbanding sesi wawancara yang memerlukan lebih masa," katanya.

Beliau juga berkata tawaran itu membuktikan kerajaan cuba melakukan pembaharuan dan bertolak ansur dengan kehendak pembangkang, sebaliknya pembangkang yang sering tidak berpuas hati, terus menuduh kerajaan sebagai tidak berlaku adil.

"Tuduh-menuduh bukan budaya dan tamadun kita. Jika tidak berpuas hati seharusnya duduk berbincang dengan baik untuk mencari penyelesaian," katanya.

Presiden Pemikir Profesional Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar pula menyifatkan tindakan pembangkang menolak tawaran itu menunjukkan mereka tidak ikhlas dalam memperjuang nasib rakyat seperti yang sering dilaung-laungkan.

"Ini peluang yang baik untuk mereka menjelaskan manifesto mereka di televisyen kerajaan kerana banyak kali mengatakan tidak pernah diberikan peluang, tetapi bila sudah terbuka di depan mata, banyak pula ragam dan helah dibangkitkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata pembangkang tidak seharusnya melepaskan peluang itu dengan sewenang-wenangnya.

"Tawaran untuk membentangkan manifesto di televisyen merupakan permulaan yang baik dalam pembaharuan yang dilakukan kerajaan menuju ke arah kebebasan media.

"Seharusnya semua parti politik termasuk pembangkang mengambil peluang dan jika terdapat kekurangan, ia boleh diutarakan dan penambahbaikan boleh dilakukan pada masa hadapan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain