suria

Masa Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi Dilanjutkan Sempena LIMA 2013

LANGKAWI: Masa operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) akan dilanjutkan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2013) selama lima hari mulai 26 Mac ini.

Pengurus LTAL Abdul Halim Othaman berkata waktu operasi dilanjutkan dari 6 pagi hingga 12 malam berbanding 7 pagi hingga 11 malam sebelumnya.

Pihak pengurusan LTAL juga bersedia melanjutkan lagi masa operasi bergantung kepada permintaan penganjur LIMA 2013, katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Seramai 25,000 hingga 30,000 pelancong dan pengunjung dijangka menggunakan LTAL sepanjang LIMA berlansung manakala beberapa syarikat penerbangan memberi jaminan untuk mengunakan pesawat lebih besar bagi membawa lebih ramai pelancong menyaksikan LIMA 2013, katanya.

Selain syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), beliau berkata Silk Air, Air Asia, Fire Fly dan Berjaya Air juga mengadakan penerbangan setiap hari ke Pulau Langkawi.

Halim berkata pengguna LTAL tahun ini dijangka meningkat kepada 1.7 juta orang berbanding 1.6 juta tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain