suria

BN Mampu Menang 25 Kerusi DUN N.Sembilan -Rais

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dilihat mampu memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum ke-13, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai parti pemerintah di negeri ini.

Anggota Parlimen Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ramalan itu berdasarkan usaha dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri BN yang telah banyak memberi faedah kepada rakyat.

"Saya yakin daripada 36 kerusi DUN (di Negeri Sembilan), kerajaan negeri mesti menang dan mendapat (memenangi) sekurang-kurangnya 25 kerusi," katanya semasa berucap pada Program Mesra Pemimpin Bersama Rakyat dan Kenali Jiran di perkarangan Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, di sini, Jumaat.

Rais yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata justeru itu, bagi memastikan masa depan yang lebih baik, rakyat pada PRU-13 perlu memilih calon yang dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya segala masalah dapat diselesaikan dengan mudah.

"Kalau kita lihat, apa yang telah dilakukan oleh Anggota Parlimen dan Adun di kawasan (diwakili pembangkang)? Mereka tidak berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, justeru banyak masalah rakyat seperti longkang tersumbat, tangki bocor dan sebagainya tidak dapat diselesaikan," katanya. Rais berkata rakyat juga tidak boleh mengundi calon yang hanya memperjuangkan nasib sesetengah kaum sahaja sebaliknya memilih calon yang mampu memperjuangkan nasib seluruh masyarakat.

Selain itu, katanya rakyat perlu sedar bahawa pembangkang sememangnya kerap mengajak menukar kerajaan, namun ia hanya cakap kosong yang tidak cukup untuk menjamin masa depan rakyat jika mereka memerintah.

Sementara itu, Rais berkata kementeriannya akan melaksanakan Program Kenali Jiran ke seluruh negara bagi merapatkan hubungan dan memastikan masyarakat berbilang kaum dapat hidup dalam suasana yang lebih harmoni.

"Antara Melayu dan Cina, Cina dengan India, India dengan Melayu, kita jadikan persahabatan kita dan dengan itu kita akan lebih mesra," katanya.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan komputer riba 1Malaysia dan bantuan barang-barang keperluan harian kepada beberapa penduduk rumah pangsa tersebut. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain