suria

Kerajaan Komited Terus Mengupayakan Wanita - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan komited untuk terus mengupayakan dan memperkasakan wanita sepenuhnya dalam memastikan potensi wanita dapat direalisasikan serta dibangunkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kerajaan bukan setakat mengiktiraf peranan wanita tetapi seterusnya mengarusperdanakan golongan hawa dalam proses pembangunan dan transformasi negara.

"Dalam lipatan sejarah...dalam perjuangan menuntut kemerdekaan...dalam perjuangan mengisi kemerdekaan...dalam perjuangan menjayakan wawasan negara...wanita memainkan peranan penting untuk capai hasrat dan cita-cita negara.

"Itulah sebabnya kita berhimpun hari ini, bagi mencetuskan gelombang di kalangan wanita, supaya wanita tampil ke hadapan seterusnya menaikkan semangat, bahawasanya cita-cita negara tidak mungkin tercapai tanpa mengupayakan wanita di seluruh negara," katanya semasa berucap sempena perhimpunan 1 Juta Wanita atau "1Million Women Purple Walk" 2013 di sini Ahad.

Perhimpunan turut disertai isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Perdana Menteri berkata, hasil daripada usaha kerajaan selama ini, banyak kejayaan telah dicapai oleh kaum wanita, misalnya dalam bidang pendidikan.

"Di pusat-pusat pengajian tinggi, 62 peratus terdiri daripada pelajar wanita...ini adalah disebabkan kelayakan yang dimiliki kaum itu," katanya.

Di samping itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus melaksanakan usaha bagi memastikan objektif 30 peratus pembuat dasar adalah di kalangan wanita, tercapai.

"Kini terdapat 30 daripada 62 Hakim Mahkamah Tinggi terdiri daripada wanita, di kalangan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, tujuh daripadanya wanita dan yang terbaru di Kementerian Kesihatan KSUnya juga seorang wanita," katanya.

Dalam ucapannya itu, Najib mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) melantik sekurang-kurangnya seorang wanita atau lebih sebagai ahli lembaga pengarah.

"Dasar transformasi negara tidak akan tercapai jika golongan wanita tidak diberi peluang sama, tidak diupayakan serta diarusperdanakan, bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi juga di akar umbi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain