suria

Hubungan Penduduk Di Sempadan Selatan Thailand-Kelantan Perlu Dipererat

BACHOK: Hubungan penduduk di kawasan sempadan selatan Thailand dan Kelantan perlu dipererat untuk faedah bersama, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata antara langkah yang boleh diambil ialah menerusi penganjuran sukan dan kebudayaan seperti perlawanan bola sepak serta pertandingan dikir barat.

"Kedua-dua bidang itu boleh dijadikan 'jambatan muhibbah' jika dipertingkatkan lagi untuk merapatkan hubungan persaudaraan antara penduduk Kelantan dan selatan Thailand," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan bola sepak persahabatan antara veteren Umno Bahagian Bachok dan Persatuan Yang Berhormat Narathiwat di sini, Sabtu.

Rombongan Persatuan Yang Berhormat Narathiwat seramai 25 orang diketuai pengerusinya, Zulkifli Che Mamat.

Awang Adek juga berkata untuk jangka panjang kedua-dua pihak boleh merangka projek yang lebih besar membabitkan bidang ekonomi bagi keuntungan rakyat.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya akan berkunjung lagi ke sini bulan depan bagi menyertai majlis khatam Al-Quran beramai-ramai dengan penduduk Bachok.

Sebelum ini, persatuan itu pernah menyertai sambutan Maulidur Rasul bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Jeli, katanya. BERNAMA

Artikel Lain