suria

Kenyataan Tian Chua Amat Tidak Bertanggungjawab -Muhyiddin

CAMERON HIGHLANDS: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang mengaitkan peristiwa di Lahad Datu, Sabah dengan parti Umno, sebagai amat tidak bertanggungjawab.

Sambil membidas kenyataan itu, Muhyiddin berkata semua pihak perlu memahami bahawa isu di Lahad Datu adalah merupakan isu keselamatan yang amat diberi perhatian serius oleh kerajaan.

"Kita serahkan kepada pasukan keselamatan untuk ambil apa-apa langkah sewajarnya. Kita berasa amat sedih dengan peristiwa yang mengorbankan anggota kita. Jadi itu (kenyataan Tian Chua) adalah satu perkara yang tidak munasabah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Tanah Rata di sini, Sabtu.

Pada Jummat, dalam kenyataan di portal KeadilanDaily, Anggota Parlimen kawasan Batu itu mendakwa insiden tembak menembak di kampung itu merupakan konspirasi Umno bagi mengalihkan perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Muhyiddin berkata misi pasukan keselamatan di Lahad Datu adalah sangat penting daripada aspek keselamatan negara dan berharap rakyat memahami mengenai apa yang berlaku.

"Pembangkang dengan mudah membuat tuduhan berkaitan dengan BN dan Umno kerana sebahagian daripada rancangan mereka adalah kempen membenci kerajaan dan Umno, ini bukan pertama kali.

"Hal ini dilakukan untuk menyemarakkan rasa marah dan benci tetapi, saya yakin rakyat faham dengan situasi ini dan keadaan yang hendak ditangani, Perdana Menteri juga telah membuat kenyataan semalam," katanya.

Muhyiddin berkata hal mengenai keselamatan sehingga melibatkan peristiwa yang menyayat hati serta kemalangan besar sebegini tidak boleh dipermain-mainkan atau diekploitasi bagi meraih keuntungan politik. "Tambahan pula dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil pasukan kita, tindakan itu akan meruntuhkan moral dan semangat mereka. Saya fikir ia adalah sikap tidak bertanggungjawab pembangkang," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga kedua-dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban semalam iaitu Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl Sabaruddin Daud, 46.

"Kita berasa sedih dengan peristiwa terbunuh itu, ia satu yang tidak dijangka kerana langkah secara keselamatan dan berhemah telah diambil terhadap pihak penceroboh terbabit," katanya.

Tiga anggota komando polis, Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, Kpl Azman Ampong dan Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal Zolkifli, 22, turut cedera dalam insiden itu.

Kpl Mohd Tarmizi dan Kpl Azman kini dirawat di Hospital Lahad Datu manakala Konstabel Mohamad Qaiyum'aiqal pula dirawat di Hospital Duchess of Kent di Sandakan. Keadaan mereka dilaporkan stabil.

Mengenai dakwaan bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah untuk berjumpa dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhyiddin berkata soal perisikan diserahkan kepada pihak berkuasa. "Soal-soal perisikan ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat maklumat yang diterima. "Apa-apa maklumat yang diterima perlu disahkan dengan bukti dan sebagainya. Kalau ia berlaku kita serahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat penjelasan dan kenyataan," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain