suria

Mahkamah Tetapkan 12 Mac Bicara Kes Rompak Cip Mikro

BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 12, 16 dan 18 Mac ini untuk perbicaraan kes mencuri cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM22 juta milik sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai, Bukit Tengah di sini.

Hakim Nabishah Ibrahim menetapkan tarikh itu setelah mendapat persetujuan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada sebutan kes itu, Selasa.

Kelima-lima tertuduh ialah R. Thurai, 27, A. Jaykumar, 23, S. Somasundram, 24, G. Hari Khirusnan, 25, dan K. Kharunai Karan, 27.

Mereka didakwa mencuri 268 kotak cip mikro CPU milik syarikat Moduslink Sdn Bhd di Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai pada 2.26 pagi, 7 Oktober 2012.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim.

Peguam R. Nagaratnam mewakili Thurai, T. Tamirulselvan mewakili Jaykumar dan Somasundram, S. Jaya Raj mewakili Hari Khirusnan dan Y. Yogeswaran mewakili Kharunai Karan. BERNAMA

Artikel Lain