suria

Bau Busuk Bawa Kepada Penemuan Makmal Memproses Dadah

KUALA LUMPUR: Bau busuk yang datang dari sebuah unit kondominium di Jalan Klang Lama di sini telah membawa kepada penemuan sebuah makmal mini memproses dadah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata pada mulanya pihak polis menyiasat laporan penduduk mengenai bau busuk di unit berkenaan dan setelah diperiksa, ditemui mayat seorang lelaki yang mulai reput serta berbau di dalam tandas.

Beliau berkata lelaki berumur dalam lingkungan 30-an itu tidak mempunyai sebarang dokumen padanya dan dipercayai mati lebih empat hari sebelum mayatnya ditemui kira-kira 11 pagi Jumaat.

"Mayat dibungkus dengan plastik dan kain berwarna hitam serta diikat dengan tali," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Khairi berkata unit tersebut berada dalam keadaan berselerak dan setelah disiasat, polis turut menemui pelbagai jenis dadah di ruang dapur yang dipercayai dijadikan makmal mini memproses dadah.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain