suria

Operasi Mencari William Terus Diperluas

KUALA LUMPUR: Polis akan memperluaskan operasi menjejaki William Yau Zhen Zhong, 6, yang dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Height, Subang Jaya, 16 Januari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata beliau telahpun mengarahkan Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah supaya memperluaskan usaha mencari kanak-kanak itu termasuk menyampaikan maklumat berkaitan di sempadan.

"Polis sendiri akan berusaha sedaya upaya kita dan tidak akan berhenti menjalankan operasi mencari meskipun kehilangan William Yau telah masuk seminggu lebih," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia dan majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan di sini, Jumaat.

Mengenai penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang tersangkut di tepi bot Jeti Pelabuhan Klang semalam, Ismail berkata proses Asid Deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan bagi mengenal pasti identiti mayat itu.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan enam tahun itu ditemui dalam keadaan hampir reput di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 7.30 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemui tidak berkasut dan memakai T-shirt leher bulat tertera tulisan 'Active Group' berwarna putih dan 'Best Team' berwarna biru serta berseluar pendek berwarna oren kekuningan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata polis yakin dapat memberkas dua lagi tahanan yang berjaya meloloskan diri dengan merampas van polis ketika dibawa dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 7 Januari lepas.

"Usaha memberkas kedua-dua mereka masih diteruskan dan kita yakin mereka dapat diberkas. Saya percaya mereka masih lagi berada dalam kawasan berdekatan.

"Kita melihat ada kecuaian yang berlaku dan kita tidak akan membiarkan sebarang kelemahan berlaku begitu sahaja dan anggota polis terbabit perlu diambil tindakan," katanya.

Beliau diminta mengulas kejadian sembilan tahanan meloloskan diri dengan merampas van polis serta memukul sebelum menolak keluar empat anggota polis yang mengiringi mereka ketika dibawa dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 7 Januari lepas. - BERNAMA

Artikel Lain