suria

Liow Tiba Di Geneva Hadiri Sidang Ke-132 Mesyuarat WHO

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai tiba di Geneva untuk menghadiri sidang ke-132 Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang bermula Selasa.

Dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan berkata Malaysia dilantik sebagai anggota baharu Lembaga Eksekutif (EB) WHO pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-65 di Geneva pada 23 Mei tahun lepas.

"Malaysia menyertai Australia, China, Mongolia dan Papua New Guinea sebagai lima anggota EB yang mewakili Rantau Pasifik Barat WHO.

"Sebagai anggota baharu, Malaysia berharap dapat menyumbang secara aktif terhadap proses "Pembaharuan WHO" dan tugas umum WHO EB," kata kenyataan itu.

Kali terakhir Malaysia dilantik menganggotai WHO EB ialah 28 tahun lepas iaitu bagi penggal 1983-1985 dan sebelum itu, bagi penggal 1963-1965.

WHO EB mempunyai 34 anggota dalam bidang kesihatan dan Malaysia akan berkhidmat bagi penggal 2012-2014.

"Fungsi utama EB ialah menjayakan keputusan dan dasar Perhimpunan Kesihatan Sedunia, memberi khidmat nasihat kepadanya dan menjadi pemudahcara bagi tugasnya," kata kenyataan itu.

Sebanyak 18 perkara utama dan perkara teknikal yang terbahagi kepada lima kategori akan dibincang pada sidang itu.

Kategori berkenaan ialah penyakit tidak berjangkit; meningkatkan taraf kesihatan melalui pendekatan kehidupan seharian; kesiapsiagaan; pengawasan dan respons; serta penyakit berjangkit dan sistem kesihatan.

Kenyataan itu berkata perbincangan juga akan menyentuh tentang perkara khusus berkaitan "Pembaharuan WHO", sebagi susulan kepada perbincangan yang diadakan pada Perhimpunan Kesihatan Ke-65 dan sidang EB ke-131 pada Mei 2012. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain