suria

Dua Beradik Ditahan Disyaki Edar Heroin

KUANTAN: Dua beradik ditahan kerana disyaki mengedar dadah di sebuah rumah di Felda Bukit Sagu dekat sini Isnin.

Kedua-dua adik-beradik itu yang berusia 32 dan 42 tahun diberkas oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 1.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, ketika serbuan dilakukan, kedua-duanya didapati sedang khayal akibat pengaruh dadah.

"Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas pihak polis," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di rumah itu, polis menemui satu paket plastik yang berisi dua plastik kecil yang dipercayai heroin yang dianggarkan seberat 24 gram dan bernilai RM1,000.

Dadah itu dipercayai untuk diedarkan di Felda berkenaan, katanya.

Mohd Jasmani berkata, suspek yang berusia 42 tahun pernah ditangkap sebelum ini atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain