suria

Caj Parkir Diseragam Di Seluruh Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Kadar caj bayaran letak kereta di seluruh Kuala Lumpur akan diseragamkan mengikut zon dengan nilai siling yang ditetapkan bermula Selasa.

Mengumumkan demikian, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata operator parkir diberi masa tiga bulan untuk mematuhi harga siling tersebut.

Beliau berkata kadar caj bayaran letak kereta ditetapkan kepada empat kategori iaitu parkir dalam bangunan, kawasan terbuka atau kawasan lapang, milik hotel dan lain-lain kategori.

Katanya, manakala kawasan tempat letak kereta pula dibahagi kepada dua zon iaitu kawasan perancangan pusat bandar dan kawasan perancangan luar pusat bandar.

"Kadar siling caj letak kereta mengikut jam yang dibenarkan di kawasan perancangan pusat bandar adalah untuk jam yang pertama RM3 hingga RM6 (dalam bangunan), RM3 hingga RM5 (kawasan lapang), RM4 hingga RM8 (hotel) dan RM3 hingga RM6 (lain-lain kategori).

"Bagi kawasan perancangan luar pusat bandar; jam yang pertama ialah RM1 hingga RM4 (dalam bangunan), RM1 hingga RM3 (kawasan lapang), RM3 hingga RM5 (hotel) dan 50 sen hingga RM2 (lain-lain kategori)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman garis panduan kadar caj tempat letak kereta persendirian bagi Kuala Lumpur serta perasmian tempat letak kereta wanita dan sistem panduan tempat letak kereta KLCC di sini, Selasa.

Katanya, manakala bagi tiap-tiap jam berikutnya, caj dibenarkan antara RM1 hingga RM2 untuk semua kategori.

"Penggunaan letak kereta di bawah 15 minit bagi mana-mana kawasan dan kategori adalah percuma.

"Bagi penunggang motorsikal, caj dikenakan adalah sekali masuk (per entry) dengan caj siling antara RM1 hingga RM2 manakala bagi kawasan di luar perancangan pusat bandar adalah tidak melebihi RM1," katanya.

Nong Chik berkata bagi operator letak kereta yang melaksanakan kadar rata (flat rate) di kawasan perancangan pusat bandar, caj siling ialah antara RM5 hingga RM10, tertakluk kepada bayaran maksimum tidak melebihi RM20 sehari.

"Bagi kawasan di luar perancangan pusat bandar, kadar 'flat-rate' dibenarkan ialah RM1 hingga RM5, tertakluk kepada bayaran maksimum tidak melebihi RM15 sehari," katanya.

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat kajian dan mengadakan pertemuan dengan operator parkir bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi harga parkir yang mahal.

Katanya, pihaknya menerima rungutan dari warga kota dan juga pengunjung dari negeri lain kerana bayaran parkir sama ada di kawasan terbuka ataupun dalam bangunan persendirian adalah berbeza-beza, walaupun jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.

"Pihak Kementerian sedar banyak rungutan disuarakan oleh warga kota kerana mereka terpaksa menanggung kos meletak kereta yang agak tinggi, lebih-lebih lagi yang dikendalikan oleh operator-operator persendirian.

"Lebih membebankan rakyat, wujud segelintir operator persendirian yang tidak bertanggungjawab, mengenakan caj yang terlalu tinggi tanpa kawalan, terutama ketika menjelang musim-musim perayaan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain