suria

Edar Dadah: Dua Lelaki Ditahan

JOHOR BAHARU: Kegiatan dua lelaki yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan ternakan ayam di Lima Kedai dekat Gelang Patah dengan turut menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) terbongkar apabila mereka ditahan polis dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kedua-dua mereka yang ketika itu menaiki sebuah kenderaan Pajero ditahan di kawasan Bandar Baru Uda selepas anggota polis mengejar mereka dari kawasan menternak ayam tersebut.

"Terdahulu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Nusajaya terserempak dengan mereka yang berumur 34 dan 36 tahun itu di kawasan penternakan ayam berkenaan sebelum kedua-duanya memecut kenderaan mereka bagi melarikan diri," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, Khamis.

Beliau berkata polis yang memeriksa Pajero itu menemui sepasang gari, sehelai vest Rela, alat walkie-talkie, dua telefon bimbit serta serangkai anak kunci.

Mohd Mokhtar berkata berdasarkan soal siasat terhadap mereka, polis kemudiannya kembali semula ke kawasan penternakan ayam itu di mana pemeriksaan lanjut menemui dua pucuk pistol tiruan dan dua gram dadah disyaki syabu. Katanya kedua-dua lelaki terbabit didapati positif dadah dan mereka memiliki tujuh rekod jenayah berkaitan dadah.

"Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lain-lain suspek yang terlibat dengan kegiatan terbabit dan kedua-dua lelaki itu kini direman sehingga 15 Jan depan bagi siasatan selanjutnya," katanya.

Dalam kes lain, tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Penyiaran, Taman Universiti, Skudai Ahad lepas.

Mohd Mokhtar berkata salah seorang daripada lelaki terbabit merupakan rakyat Myanmar dan polis dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang itu turut menemui pelbagai barangan termasuk tiga komputer riba, empat telefon bimbit, alat pengimpal, pil eramin 5 serta dua paket syabu.

Katanya dua daripada mereka didapati memiliki dua rekod berkaitan dadah serta curi motosikal dan kesemua mereka yang positif terhadap dadah itu kini ditahan reman. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain