suria

Kementerian Kesihatan Nafi Henti Bekal Ubat Percuma - Rosnah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan pada Selasa menafikan dakwaan pembangkang kononnya pengedaran ubat-ubatan secara percuma terutama kepada golongan yang berpendapatan rendah akan dihentikan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kementerian melalui Dasar Ubat Nasional (DUNAS) telah menetapkan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat, berkesan dan mampu dimiliki oleh orang ramai dapat diperoleh secara sama rata ke arah meningkatkan tahap kesihatan rakyat.

"Pada tahun lepas, perbelanjaan membiayai ubat-ubatan pesakit mencecah hampir RM1.8 bilion namun rakyat tetap dibekalkan ubat secara percuma di semua fasiliti kementerian," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Portal berita pembangkang pada 2 Januari lepas memetik Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri yang mendakwa kononnya orang ramai tidak lagi berpeluang mendapat ubat percuma dari hospital atau klinik kerajaan sebaliknya perlu menanggung sendiri kos menerusi swasta, ekoran dasar baru yang bakal dilaksana Kementerian Kesihatan tidak lama lagi.

Yahya Sahri turut mendakwa kononnya Kerajaan Persekutuan menangggung RM1.2 bilion untuk membiayai ubat-ubatan pesakit dan ia meningkat 10 peratus setiap tahun dan oleh sebab itu, kementerian dikatakan terpaksa menghentikan pengedaran ubat-ubatan secara percuma.

Rosnah bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembiayaan ubat-ubatan meningkat disebabkan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, kardiovaskular, respiratori, kanser dan sebagainya.

"Kemajuan inovasi telah meningkatkan penggunaan ubat-ubatan baharu yang lebih mahal menggantikan ubat sedia ada yang lebih murah," tambahnya.

Jelas beliau kementerian akan terus memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada kesihatan yang berkualiti secara adil dan saksama.

Sebarang perubahan dasar tidak akan dilakukan tanpa perbincangan dan mengambil kira pandangan pihak yang berkepentingan, katanya.

Rosnah berkata dakwaan pembangkang itu membuktikan mereka sanggup menyatakan apa sahaja demi meraih undi walaupun ia fitnah semata-mata.

"Saya percaya bahawa rakyat bijak menilai antara kaca dan permata. Satu Malaysia menolak fitnah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain