suria

Dua Lelaki Ditembak Mati, Polis Selamatkan Mangsa Culik

IPOH: Seorang wanita yang diculik sejak 11 hari lepas dengan tuntutan wang tebusan RM30 juta berjaya diselamatkan selepas dua daripada empat penculiknya ditembak mati di bekas premis jualan susu getah di Trong, Taiping malam Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, operasi pada pukul 9.45 malam Ahad dijalankan sepasukan polis khas selepas risikan selama dua minggu dan ketika serbuan itu, dua penjenayah terbabit berada bersama mangsa.

"Menyedari kehadiran polis, penculik bertindak melepaskan tembakan dan menyebabkan berlaku kejadian tembak menembak antara polis dan penjenayah terbabit.

"Dua penjenayah berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditembak mati manakala wanita itu berjaya diselamatkan dan hanya mengalami cedera ringan. Dia kini dirawat di hospital," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, polis menemui sepucuk pistol auto jenis Walter .22, sebutir peluru, sepucuk pistol mainan, 44 biji bebola besi, dua pasang gari, satu topeng muka, sepasang sarung tangan kain, tiga sarung kaki perempuan, satu bahan bacaan berbahasa Cina di tempat kejadian.

Turut ditemui di tempat kejadian ialah tiga kelongsong peluru, makanan ringan dan minuman botol.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kamunting, Taiping pada pukul 4 pagi Isnin dan polis kini memburu seorang lagi suspek utama serta menyiasat kemungkinan terdapat rakan penjenayah lain yang terlibat dalam kes penculikan itu.

Wanita berusia 52 tahun itu diculik di hadapan rumahnya di Taiping pada 26 Disember oleh sekumpulan empat penjenayah bersenjatakan pistol dan dikurung di premis yang terletak di Km 76 Jalan Sitiawan-Taiping itu.

"Empat suspek yang bersenjatakan pistol itu turut cuba menculik anak saudara mangsa yang berumur empat tahun yang berada bersama-sama wanita berkenaan di rumah kediamannya pada hari kejadian, tetapi gagal," katanya.

Mohd Shukri berkata, susulan daripada laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa, polis menubuhkan pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim untuk menjalankan risikan.

Polis percaya kesemua suspek itu turut terlibat dalam kes jenayah lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain