suria

Dr Mohd Fauzi Azam Angkat Martabat UPM Ke Peringkat Lebih Tinggi

Majlis penyerahan tugas Naib Canselor UPM daripada Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi (kiri) kepada Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan di kampus induk universiti itu di Serdang, Selangor pada petang Jumaat, 4 Jan 2013.
Majlis penyerahan tugas Naib Canselor UPM daripada Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi (kiri) kepada Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan di kampus induk universiti itu di Serdang, Selangor pada petang Jumaat, 4 Jan 2013.
Majlis penyerahan tugas Naib Canselor UPM daripada Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi (kiri) kepada Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan di kampus induk universiti itu di Serdang, Selangor pada petang Jumaat, 4 Jan 2013.

SERDANG: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang baru, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berazam untuk meletakkan universiti itu ke tahap yang lebih tinggi dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap keselamatan bidang pengeluaran makanan di negara ini.

Dr Mohd Fauzi, 52, berkata sebagai peneraju dalam memastikan kualiti dan keselamatan bidang pengeluaran makanan di negara ini universiti itu akan memberikan tumpuan yang khusus dalam kajian penghasilan benih padi bagi meningkatkan pengeluaran beras, jenis baja yang digunakan, bidang penternakan ayam daging serta akuakultur.

“Kita juga akan mahu menambah jumlah pelajar dalam jurusan doktor falsafah serta membuat penyelidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Pengeluaran dalam bidang pemakanan perlu ditingkatkan kerana menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) sebuah bandar raya memerlukan 6,600 tan makanan sehari justeru usaha untuk meningkatkan jumlah pengeluaran makanan menjadi faktor yang cukup penting bagi negara kita pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tugas Naib Canselor di Dewan Taklimat UPM pada Jumaat.

Jelasnya, usaha tersebut perlu dimulakan sekarang dengan melibatkan langkah-langkah inovatif bagi meningkatkan jumlah pengeluaran makanan kerana bandar raya Kuala Lumpur dijangka mempunyai populasi 12 juta pada satu hari nanti.

Dr Mohd Fauzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Naib Canselor UPM keenam, Prof Datuk Ir Radin Umar Radin Sohadi kerana telah meletakkan UPM pada asas yang kukuh dalam pelbagai bidang dan beliau berjanji akan meneruskan usaha tersebut.

Beliau berkata UPM juga akan mempunyai pelan strategik yang baru pada 2014 hingga 2020 dengan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik.

Sebelum ini Dr Mohd Fauzi telah dilantik sebagai timbalan naib canselor UPM pada 16 Mei 2010.

Selain menguruskan hal ehwal pelajar, beliau juga turut bertanggungjawab ke atas Pusat Kokurikulum, Pusat Sukan, Pusat Alumni, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan kolej-kolej kediaman.

Sebelum dilantik sebagai timbalan naib canselor UPM, beliau adalah pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi.

Dr Mohd Fauzi adalah seorang berkelulusan doktor falsafah dari University of York, United Kingdom.

Sementara itu, Dr Radin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Dr Mohd Fauzi sebagai peneraju UPM yang baru. “Dr Mohd Fauzi bukan orang baru di sini sebagai Timbalan Naib Canselor, beliau sudah biasa dengan staf dan tenaga pengajar akademik di sini. Saya yakin semua kakitangan akan dapat beri kerjasama sepenuhnya dalam memajukan UPM,” katanya.

Katanya, sebagai universiti yang menerajui dalam bidang penyelidikan makanan UPM juga membuat kajian yang mendalam dalam penggunaan antibiotik dalam penternakan ayam daging.

“UPM sedang membuat kajian bagaimana untuk mengurangkan penggunaan antibiotik dalam penternakan ayam. Justeru kita sedang melihat untuk menggantikannya dengan penggunaan probiotik. Ini kerana penggunaan antibiotik memberi kesan kepada kesihatan manusia.

“Selain itu, kita juga menjalankan kajian dalam bidang akuakultur bagi menggelakkan pergantungan terhadap sumber protein terutamanya ikan. Ini kerana ikan akan pupus satu hari nanti,” katanya.

Dr Radin dilantik sebagai naib canselor UPM pada 1 Januari 2011 bagi tempoh tiga tahun.

Perkhidmatan beliau sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2013 tetapi mengambil keputusan untuk memendekkannya kerana masalah kesihatan yang dihadapinya sejak setahun yang lalu.

Dr Radin sebelum ini adalah ketua pengarah Jabatan Pengajian Tinggi dan juga ketua pengarah Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Keselamatan Trafik dari Birmingham University, United Kingdom.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN DAN KERJAYA PROF DR FAUZI RAMLAN:

Datuk Prof Dr Fauzi Ramlan dilahirkan pada 15 Oktober 1960 dan berasal dari Johor.

Beliau mempunyai Diploma Pertanian daripada Universiti Pertanian Malaysia, diikuti dengan Bachelor of Science (Agronomy) dari Iowa State University, Master of Science dari Louisiana State University dan seterusnya PhD (Biology) dari Universiti of York.

Beliau merupakan profesor dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia dan sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di UPM, beliau pernah berkhidmat di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Pengarah di Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Pelajar.

Kecemerlangan beliau dalam bidang pertanian juga telah mendapat pengiktirafan daripada Japanese International Cooperation Agency (JICA) di mana beliau telah menerima biasiswa untuk menerima latihan di Okinawa International Center selama setahun dan ditauliahkan Certificate of Agriculture oleh University of the Ryukyu.

Di samping itu, beliau merupakan seorang yang komited terhadap pembangunan pelajar dan aktif dalam aktiviti penyelidikan pertanian.

Artikel Lain