suria

Kerajaan Tangani Pelajar Kurang Cemerlang

RAUB: Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyedia pelbagai peluang kemahiran kepada pelajar kurang cemerlang dalam akademik bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam sektor pekerjaan, kata Pengerusi GiatMara, Datuk Shahiruddin Ab Moin.

Beliau berkata menerusi GiatMara, mereka yang tidak cemerlang dalam akademik itu diberi peluang menyertai pelbagai program latihan kemahiran dan dibimbing supaya keluar sebagai modal insan berkemahiran dalam sektor industri.

"Selain melahirkan tenaga kerja mahir, mereka yang belajar di bawah program GiatMara juga dilatih menjadi usahawan dalam sektor pelancongan, mengusahakan bengkel kereta dan motosikal, bengkel mengecat kereta dan membuka kedai kek dan pastri serta salun.

"Malah lebih 35 peratus bekas pelatih GiatMara sudah berjaya sebagai usahawan dan ada yang menjadi jutawan serta ada yang bekerja dengan syarikat konglogmerat luar negara berpendapatan mencecah RM20,000 sebulan," katanya.

Shahiruddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan Pahang kepada 130 pelajar dalam kawasan Parlimen Raub yang mendapat keputusan cemerlang Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR) 2012 di Dewan Jubli Perak di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, kerajaan BN tidak akan meminggirkan pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik, sebaliknya mereka akan terus dibantu menimba ilmu dalam pelbagai kemahiran yang diperlukan sektor industri.

"Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak gagal dalam akademik tidak perlu malu atau risau dengan menganggap masa depan anak mereka sudah berakhir.

"Kerajaan akan memastikan setiap pelajar mendapat pendidikan sempurna termasuk pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik kerana mereka masih boleh dilatih sebagai modal insan berkemahiran dan terlatih," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain