suria

Skim Keselamatan Sosial Negara India Boleh Dilaksana Di Malaysia

PUTRAJAYA: Pekerja dari India bakal mempunyai peluang untuk mendapat manfaat daripada skim keselamatan sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan mereka meskipun berada beribu-ribu kilometer daripada kampung halaman.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Rabu berkata, skim itu boleh diadaptasikan di Malaysia.

“Selagi ia dalam lingkungan rangka kerja bagi undang-undang kami, kami menyokongnya.

“Ia (skim keselamatan sosial) boleh menjadi satu lagi peluang di mana kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk mengukuhkan hubungan dan keselamatan pekerja-pekerja India di Malaysia,” katanya dalam satu sidang media bersama bersama Menteri Hal Ehwal Luar India, Vayalar Ravi.

Terdahulu, kedua-dua menteri mengadakan mesyuarat selama satu jam di mana menyentuh beberapa isu berkaitan dengan tenaga kerja, termasuk mengukuhkan kebajikan dan perlindungan untuk para pekerja dari India.

Skim keselamatan sosial di India diperkenalkan pada 2008 dan menyediakan faedah insurans dan persaraan kepada pekerja yang berkhidmat di kilang-kilang dan organsasi lain.

Dilaporkan bahawa kerajaan India sedang berusaha untuk melaksanakan skim berkenaan untuk rakyatnya yang bekerja di luar negara.

Dr Subramaniam berkata, terdapat kira-kira 100,000 pekerja dari India di negara ini dan hampir 74,000 daripada mereka berada dalam bidang separuh mahir dan tidak mahir.

Sementara itu, Ravi berkata, kerajaannya akan mengkaji mengenai kecekapan kerajaan Malaysia dengan mekanisme kerajaan terhadap penggajian pekerja asing.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan sedia ada di mana para pekerja diambil secara langsung oleh majikan di sini, dan mengalu-alukan usaha untuk mempertingkatkan proses.

Mekanisme itu merupakan idea Malaysia untuk mengetepikan penglibatan orang tengah dan ejen dalam pengambilan pekerja asing.

Setakat ini, persetujuan itu hanya ditandangani dengan Bangladesh, pada 26 November lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain