suria

APMM Gagalkan Cubaan Seludup Dadah Bernilai RM600,000

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat menggagalkan satu cubaan menyeludup 1.2 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM600,000, menggunakan sebuah bot, di perairan Tanjung Tohor, dekat Batu Pahat, dua hari lepas.

Ketua Penguatkuasa Maritim Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Maritim Iskandar Ishak berkata, bot dipercayai dari negara jiran itu ditemui kira-kira pukul 5.30 pagi berhampiran pantai Sungai Pulai, Tanjung Tohor, selepas anggota APMM yang sedang melakukan rondaan di perairan Batu Pahat menerima laporan orang awam.

"Tekong bot itu bertindak terjun ke dalam laut dan berenang ke paya bakau berhampiran sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa. Dia gagal dikesan kerana keadaan yang gelap," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, Selasa.

Iskandar berkata, anggota APMM kemudian menemui sebuah tayar kenderaan pacuan empat roda dalam bot itu dan pemeriksaan lanjut terhadapnya menemui empat bungkusan dadah dipercayai syabu berkenaan yang disorokkan di dalam tayar terbabit.

Beliau berkata, bot berukuran empat meter panjang dengan satu enjin Mercury 40 kuasa kuda dan dadah yang dirampas terbabit kemudian dibawa ke Jeti APMM Pangkalan Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

"Sehubungan kejadian itu, APMM akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan perairan negara untuk mencegah aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim.

"Orang ramai dalam masa yang sama diminta supaya mambantu agensi penguatkuasaan dengan melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain