suria

Polis Tumpaskan Sindiket Penipuan Internet 'Macau Scam'

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket penipuan antarabangsa menggunakan Internet atau 'Macau Scam' dengan tertangkapnya 51 orang dalam serbuan di dua buah rumah banglo di Seksyen 12 dan di Setia Bistari, Bukit Damansara, di sini Isnin.

Daripada 51 tahanan itu, 45 adalah lelaki dan enam wanita dengan 46 daripada mereka adalah warganegara Taiwan, empat warganegara China dan seorang rakyat tempatan.

Penolong Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ACP Kamaruddin Md. Din berkata kesemua mereka berusia antara 20 dan 40 tahun ditahan dalam operasi tiga jam bermula 12.45 tengah hari.

Beliau berkata 'Macau Scam' itu dipercayai diketuai seorang warga Taiwan dan berjaya menipu ramai warga China dan Taiwan dengan memperdayakan mangsa supaya memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga.

"Sindiket ini tidak beroperasi di negara sendiri bagi mengelak dikesan pihak berkuasa negara mereka dan mereka berpangkalan di negara ini," katanya kepada pemberita di Seksyen 12, di sini, Isnin.

Kamaruddin berkata modus operandi sindiket itu menggunakan perkhidmatan 'Voice Over Internet Protokol' (Voip) untuk menelefon mangsa dan ia menyukarkan pihak polis mengesan kegiatan mereka.

"Mereka menyamar menjadi wakil pihak bank, polis atau peguam memberitahu mangsa kononnya akaun bank atau kad kredit mangsa telah diceroboh oleh pihak ketiga dan wang di dalam akaun akan dicuri oleh penipu sekiranya mangsa tidak memindahkan wang mereka ke akaun sindiket itu," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis turut merampas 13 komputer riba, 22 'walkie-talkie', modem, penyambung panggilan, lima skrip untuk menipu dan lima telefon.

Katanya polis masih memburu ketua sindiket terbabit dan nilai kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain