suria

Pembekal Arak Ditemui Mati Ditembak

KLANG: Seorang pembekal arak berumur 34 tahun ditemui mati dalam keretanya dengan kesan tembakan di bahagian badan di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Desawan di sini, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menerima maklumat dari orang awam kira-kira pukul 7.40 pagi ini berhubung penemuan mayat di bahagian tempat duduk pemandu dalam kereta Toyota Camry itu.

Beliau berkata, mangsa yang belum dikenal pasti namanya dipercayai keluar makan malam bersama sekumpulan rakannya di sebuah restoran di Taman Desawan sebelum ke pusat hiburan yang terletak bersebelahan restoran itu untuk sesi karaoke dengan kumpulan sama.

"Mangsa dipercayai ditembak ketika mahu pulang dari berhibur ke rumahnya yang terletak di Bayu Perdana di sini," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Adnan berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pembekal arak disyaki ditembak dari arah pemandu berikutan penemuan sembilan kesan tembakan di bahagian kanan kereta.

"Kita turut menemui lapan kelongsong peluru...kita percaya suspek menggunakan senjata jenis semi-auto," katanya dan menurutnya polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain