suria

Bolehkah Diwujudkan Kesatuan Dalam Kepelbagaian?

PERHIMPUNAN Agung Umno 2012 yang telah selesai berlangsung awal bulan ini hanya sempat saya ikuti dari kaca televisyen sahaja.

Mungkin ramai di kalangan ahli UMNO sendiri tidak memahami tujuan utama parti tunjang negara ini dibentuk. Merujuk kepada perlembagaan Umno, penubuhan parti ini bertujuan untuk menjalankan segala tugasan dan usaha bagi membangunkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Nampak betapa murninya perjuangan Umno ini, namun begitu kadangkala ahlinya perlu ditegur untuk kembali ke landasan yang sepatutnya. Sebagai seorang ahli akademik saya mengambil pendiri untuk menjadi non-partisan.

Bukan isu Umno yang ingin saya ketengahkan namun hala tuju politik negara kita membuatkan saya terfikir dan termenung seketika.

Umumnya semua mengetahui Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan.

Dalam hal ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dengan kedudukannya yang tertinggi melebihi seorang perdana menteri.

Kerajaan demokrasi berparlimen bermaksud pemerintahan yang dijalankan secara perwakilan yang dipilih ketika berlangsungnya pilihan raya.

Melalui amalan demokrasi, rakyat diberi kebebasan menuntut hak-hak sebagai rakyat negara ini dengan adil dan saksama. Antaranya termasuklah hak untuk memilih pentadbir negara.

Hal ini dapat dilaksanakan melalui pilihan raya. Pilihan raya adalah suatu acara memilih wakil ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri melalui undi.

Pada umumnya, pilihan raya diadakan setiap lima tahun sekali. Pelaksanaan pilihan raya melibatkan tiga pihak, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi dan calon.

Bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan adil, ramai yang seperti tidak ingin memahami bahawa perlembagaan memperuntukkan perkara penubuhan Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas daripada kawalan kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya ini diketuai oleh seorang Pengerusi dan empat orang ahli. Mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas cadangan yang dikemukakan oleh erdana Menteri.

Perlembagaan menetapkan bahawa setiap warganegara yang berumur 21 tahun layak menjadi pengundi. Setiap warganegara Malaysia bebas menyertai atau mengundi mana-mana parti politik yang mereka merasakan boleh memperjuangkan keinginan mereka.

Dalam erti kata lain, rakyat berhak memberikan kuasa kerajaan dan mandat kepada wakil-wakil yang dipilih dalam setiap pilihan raya.

Dalam konteks Malaysia, parti yang menang pilihan raya boleh membentuk kerajaan dan memikul tanggungjawab pemerintah. Peranan yang ketara yang harus dimainkan oleh pihak kerajaan adalah untuk menjaga kedamaian, perpaduan rakyat dan keharmonian dalam negara yang boleh retak dan bergolak bila-bila masa disebabkan kepelbagaian kaum di kalangan rakyatnya dan kerencaman budaya penghuninya.

Pemerintah merupakan lembaga pengurusan negara yang bertanggungjawab menjaga kebajikan umum, seperti kepentingan umum dan kepentingan individu.

Dalam pengurusan masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan di Malaysia sebenarnya lebih sukar dan sensitif berbanding negara lain di dunia.

Fahaman perkauman sepatutnya difahami sebagai kecintaan kepada kaum sendiri yang mendorong individu mahupun kelompok berusaha bersungguh-sungguh membela dan menjaga kepentingan kaum dalam batas-batas tertentu bagi memastikan semangat perkauman tadi tidak membawa kepada penindasan kepada kaum lain atau memandang rendah kepada kaum yang berlainan.

Keadaan ini boleh membawa kepada porak-perada negara.

Hakikat yang tidak boleh kita nafikan, bukan parti pemerintah sahaja yang diperlukan dalam menstabilkan sesebuah negara. Malah, parti pembangkang juga merupakan satu elemen yang penting dalam membangunkan sesebuah negara dengan wujudnya sistem demokrasi di Malaysia.

Ini menunjukkan bahawa pihak pro-kerajaan dan pihak pro-rakyat kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memantapkan sesebuah negara. Pemerintah dan pembangkang haruslah mempunyai nilai-nilai yang dihormati dan beretika dalam setiap alur kepimpinan.

Banyak masalah dan kontroversi yang ketara dapat kita lihat pada hari ini bukan sahaja di Malaysia malah dapat dikesan di peringkat antarabangsa juga. Apabila nilai-nilai ini diketepikan dan “matlamat menghalalkan cara”.

Pemerintah dan pembangkang seharusnya bertanggungjawab dalam memimpin negara. Janganlah hanya menginginkan kuasa tetapi juga perlulah mentadbir negara dengan penuh dedikasi. Matlamat pemimpin untuk menstabilkan negara yang telah aman sejak 55 tahun yang lalu haruslah dipertahankan.

Pembangkang harus lebih matang jika ingin membangkang cara pemerintah mentadbir dan begitu sebaliknya apabila pemerintah harus lebih bertolak ansur apabila pembangkang telah membangkang sesuatu perkara.

Dengan adanya sifat toleransi, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap negara, pastinya negara kita akan lebih stabil, aman dan dapat dicontohi di kaca mata antarabangsa.

Apa yang saya dambakan kita dapat mewujudkan sebuah negara bangsa dan perpaduan nasional berasaskan ‘kesatuan dalam kepelbagaian’.

Keadaan kerencaman penduduk negara ini berbanding negara lain di dunia menjadikan isu perpaduan sesuatu yang prima, yang mendasari semua perancangan pembangunan lain.

Konsep perkongsian kuasa ataupun perseimbangan kuasa di antara kerajaan dan pembangkang akan memberikan lebih manfaat kepada rakyat jelata serta amalan tersebut bolehlah disebut sebagai kesuburan dan kematangan di dalam sistem demokrasi.

Kita juga amat bersetuju bahawa sesuatu majoriti dua pertiga atau lebih daripada itu akan menyebabkan parti memerintah itu menjadi terlalu selesa, terlalu berkuasa dan akhirnya akan juga mengakibatkan ketamakan kuasa, penyalahgunaan kedudukannya, penyelewengan, timbulnya politik berpuak-puak dan takut kehilangan kuasa.

Maka dengan itu yang menyarankan agar jangan dinafikan keperluan pembangkang. Kewujudan parti pembangkang juga akan membawa kesan dalam sudut ekonomi. Menginstitusikan akauntabiliti dan ketelusan itu yang dicari.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Lain