suria

Lelaki Maut Kereta Dipandu Terbabas Ke Dalam Sungai

JITRA: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terhumban ke dalam sungai di Kampung Telaga Batu, Jalan Sungai Korok dekat sini pada Ahad.

Mohd Zulrani Mohd Nasir, 23, dari Kampung Baru Tok Pauh, Changlun, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohd Yusoff berkata hasil bedah siasat mendapati lelaki itu mati akibat lemas.

Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah hari itu, Mohd Zulrani yang bekerja sendiri dalam perjalanan dari Simpang Balai Pos Air Hitam menuju ke pekan Jitra.

Mohd Zulrani dipercayai memandu laju dan gagal mengawal kenderaan di laluan yang tidak rata menyebabkan kereta Proton Iswara itu terbabas sebelum terlanggar tiang utiliti dan terhumban ke dalam sungai.

Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra Mohamad Darus berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.15 tengah hari dan ketika tiba di tempat kejadian, mangsa berada di tebing sungai.

"Kami cuba memberi bantuan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan kenderaan orang awam," katanya. Isteri mangsa, Shahira Abd Ghani, 20, berkata suaminya ada menyebut untuk berjumpa kawan sebelum keluar dari rumah pagi ini.

"Saya mendapat tahu tentang kejadian ini selepas mendapat panggilan daripada rakan suami. Saya reda...," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Jitra pada Ahad. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain