suria

Peniaga Rugi Wang RM15,000 Dilarikan

KUANTAN: Seorang peniaga kerugian RM15,000 apabila wang tunai yang disimpan di bawah tempat duduk penumpang depan keretanya lesap di Jalan Abdul Aziz di sini, Selasa.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Nordin Mustapha berkata terdahulu kira-kira jam 1 tengah hari, lelaki berusia 41 tahun itu mengeluarkan wang di sebuah bank sebelum menuju ke sebuah restoran di Jalan Abdul Aziz.

Beliau berkata lelaki berkenaan menyimpan wang tunai itu di dalam sampul surat dan meletakkannya di bawah tempat duduk penumpang depan sebelum dia makan tengah hari di restoran tersebut.

"Sejam kemudian mangsa kembali ke keretanya dan terkejut apabila mendapati cermin keretanya di bahagian penumpang depan dipecahkan manakala wang pula lesap," katanya di sini, Rabu.

Polis percaya pencuri terbabit memerhati dan mengekori mangsa ketika dia keluar dari bank dan berhenti makan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain