suria

Umno Digesa Lahir Lebih Ramai Pemimpin Muda

KUALA LUMPUR: Umno digesa terus meningkatkan usaha untuk melakukan transformasi termasuk tumpuan kepada proses peremajaan dalam parti dengan melahirkan lebih ramai pemimpin muda berkualiti.

Perwakilan Perak, Khairul Azwan Harun bagaimanapun berkata, usaha berkenaan perlu bersandarkan kepada tiga elemen penting yang perlu diberi perhatian.

"Elemen kualiti berkenaan ialah kesetiaan, senang didekati dan tahu bersyukur.

"Peremajaan itu perlu selari dengan matlamat parti untuk melakukan transformasi," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Khamis.

Tegas beliau, dasar parti itu melakukan transformasi melalui proses peremajaan parti merupakan pendekatan yang tepat.

"Tidak seperti Umno, parti pembangkang hanya bersandarkan kepada reformasi yang mana akan melahirkan generasi yang suka berdemonstrasi.

"Ahli pembangkang mengamalkan ketaatan yang membuta tuli tanpa mengambil kira betapa teruknya pemimpin mereka," katanya.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar Umno melaksanakan program khusus untuk melahirkan pemimpin berkualiti seperti memperkenalkan sistem latihan praktikal bagi generasi muda.

Menurut beliau, golongan belia sewajarnya diberi latihan secara praktikal khususnya bagi mendekatkan diri mereka dalam dunia politik.

"Generasi muda sewajarnya kita tempatkan di pusat khidmat wakil rakyat mahupun pejabat parti di seluruh negara agar mereka diperkenalkan dengan selok belok polik.

"Ini salah satu kaedah untuk meremajakan parti ini dengan melibatkan golongan muda secara lebih dekat," katanya.

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain