suria

Tukang Masak Dipenjara Enam Bulan Miliki Motosikal Curi

PETALING JAYA: Seorang tukang masak dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki sebuah motosikal curi, tiga bulan lepas.

Majistret Nazri Omran menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ping Chee Wei setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Nazri juga memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 29 Ogos lalu.

Ping, 24, didakwa memiliki motosikal milik seorang jurujual, Wong Kien Tak, 20, bernilai RM3,000 dan masih dilaporkan hilang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Restoran Seng Kee, Jalan Keris, Taman Sri Tebrau, Johor Bharu Selatan, Johor, pada 8 malam, 29 Ogos lepas dan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya manakala tertuduh diwakili peguam, Azry Ahmad dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Selangor.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang bekas penghantar surat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang ejen insurans wanita, sembilan hari lepas.

Mohd Nor Azizi Mohd Yazid, 21, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap wanita tersebut di sebuah syarikat insurans di Puchong, pada 11.57 pagi, 19 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Esther Tan yang mewakili Mohd Nor Azizi memohon mahkamah agar dia dikenakan jaminan yang munasabah kerana anak guamnya itu merupakan penanggung tunggal keluarganya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Januari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain