suria

Tidak Benar Islam Hanya Simpati Sesama Islam - Dr M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah tidak benar orang Islam hanya bersimpati sesama orang Islam yang ditindas kerana tiada bias agama dalam perkara ini.

"Kita harap dunia tidak menuduh kita sebagai bias hanya memihak kepada orang Islam, kita tidak. Kita bias memihak demi kemanusiaan, tidak kira di mana mereka.

"Jika kita lihat kembali sejarah, kita telah mengutuk genosid terhadap Red Indian (dan) di Australia, dan mereka ini bukan orang Islam, tetapi kita prihatin dengan genosid terhadap setiap orang," katanya dalam ucaptama pada persidangan antarabangsa 'War-Affected Children' di sini, Khamis.

Beliau berkata sebab kenapa orang Islam menunjuk simpati terhadap orang Islam yang lain ialah kerana yang ditindas, diserang dan dibunuh sekarang ialah orang Islam. Dr Mahathir yang juga Pengerusi Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) berkata persoalan yang perlu ditanya ialah kenapa kuasa besar hanya membunuh orang Islam.

"Saya tidak mendapati mereka melancarkan perang terhadap bukan Islam, jika mereka lakukannya ia adalah tidak terlalu kerap dan tidak banyak.

"Ini adalah fakta, kita tidak bias dalam memihak kepada orang Islam, hakikatnya kebanyakan perang sekarang adalah terhadap orang Islam (sebagai contoh) di Bosnia Herzegovina, Iraq, Afghanistan dan hari ini kita melihat penderitaan selama 60 tahun rakyat Palestin," katanya.

Ditanya pada sidang media kemudiannya mengenai genjatan senjata di Gaza, beliau berkata tiada jaminan ia akan berkekalan kerana Israel disokong oleh negara terkuat dunia yang membekal mereka senjata.

"Senjata (itu) termasuk white phosphorus yang kita tahu boleh menyebabkan bermacam jenis penyakit," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain