Lelaki Sembunyi Syabu Dalam Kunci Penggera Ditahan - Semasa | mStar

Lelaki Sembunyi Syabu Dalam Kunci Penggera Ditahan

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang menyembunyikan dua paket dadah dipercayai syabu dalam kunci penggera keretanya ditahan dalam operasi bersepadu di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di sini, Rabu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata polis turut menemui alat menghisap dadah dan sebilah senjata berbentuk pedang sepanjang 0.3 meter dalam kereta lelaki berusia 29 tahun itu.

"Hasil ujian air kencing, lelaki itu didapati positif dadah dan dia kini ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Senjata Merbahaya," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Dalam pada itu, katanya lima lelaki berusia antara 21 hingga 38 tahun turut ditahan kerana positif dadah dalam operasi selama lebih dua jam bermula 10.30 pagi ini melibatkan 70 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ahmad Adnan berkata 17 notis juga dikeluarkan atas kesalahan memandu melebihi had laju yang dibenar manakala enam saman dikeluarkan terhadap pemandu kerana tidak memiliki lesen memandu, perlindungan insurans dan cukai jalan.

JPJ turut mengeluarkan notis arahan pemeriksaan semula ke atas 23 kenderaan yang menggunakan cermin gelap manakala SPAD mengeluarkan satu saman ke atas seorang pemandu teksi yang tidak mengenakan pakaian khas, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Lelaki Lemas Kereta Terbabas Ke Dalam Sungai

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain