suria

BN Lancar Radio BN Selangor

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mengorak langkah ke hadapan dengan mengumumkan pelancaran Radio BN Selangor yang akan mula beroperasi pada 17 November ini.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Zin Mohamed berkata kewujudan radio berkenaan adalah untuk memberi informasi yang jelas kepada rakyat khususnya di Selangor mengenai apa yang dilakukan oleh kerajaan BN serta perkembangan mengenai isu-isu semasa.

"Radio ini juga merupakan platform untuk rakyat memberikan pandangan, mengemukakan aduan atau masalah mereka. Medium radio juga boleh digunakan untuk menangkis fitnah daripada Pakatan Rakyat dengan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

"Radio ini akan beroperasi selama 24 jam dan boleh diakses dengan melayari laman web, www.selangorbn.fm," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Selangor pada Rabu.

Menurutnya, bagi pengguna telefon pintar mereka boleh memuat turun aplikasi Tune In dan melayari Selangor BN FM menggunakan aplikasi tersebut.

"Setakat ini terdapat 10 segmen yang telah disusun antaranya kapsul pagi, bual bicara, lagu permintaan, aduan rakyat, resipi selebriti, bersama pemimpin, bicara kesihatan, bicara agama, bakat Selangor dan berita@info," katanya.

Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, radio BN Selangor merupakan usaha berterusan BN untuk mendekati rakyat.

"Radio ini berbentuk dua hala di mana pendengar boleh berhubung di BN Selangor terutamanya apabila melibatkan segmen-segmen bersama pemimpin kelak," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, BN Selangor akan mengadakan Karnival Sayangi Selangor sempena sambutan tahun baru 2013 di I-City Shah Alam.

Karnival tersebut akan diadakan selama empat hari bermula dari 29 Disember 2012 hingga 1 Januari 2013.

"Karnival ini akan turut memuatkan program untuk golongan belia dan aktiviti seisi keluarga seperti marathon, konvoi 'treasure hunt', pameran produk 1Malaysia, pameran kerjaya, pameran produk BN Selangor, permainan 'paintball', laser-tag, go kart, futsal, gerai jualan dan persembahan artis dan kebudayaan.

"Terdapat juga pameran dan pertunjukan automatif melibatkan kelab dan persatuan automatif rakyat Selangor," katanya.

Beliau menjangkakan lebih 300,000 orang akan hadir pada Karnival Sayangi Selangor ini.

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain