suria

Tetamu Turut Undi Obama Dalam Pilihan Raya Olok-Olok Anjuran Kedutaan AS

KUALA LUMPUR: 'Demam Obama' semakin panas di kalangan tetamu dari Malaysia dan antarabangsa yang mengundi beliau untuk penggal kedua dalam pilihan raya 'olok-olok' yang diadakan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Keputusan pilihan raya olok-olok itu diumumkan sebelum siaran langsung CNN mengumumkan bahawa Presiden Barack Obama akan dipilih semula, dengan kira-kira 300 tetamu mengambil bahagian termasuk pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti.

Ramai yang beratur untuk mengambil gambar 'gila-gila' atau kreatif mereka dengan keratan gambar bersaiz sebenar Obama dan calon Republican Mitt Romney, dan menyiarkannya di Twitter atau Facebook untuk peraduan 'Take A Snapshot' anjuran kedutaan.

Duta AS, Datuk Paul W. Jones berkata pilihan raya olok-olok bertujuan membantu memberikan pengalaman kepada tetamu merasai pilihan raya AS.

"Kami rasa kami telah melakukan tugas yang cukup baik dengan menggambarkan keseluruhan proses pilihan raya AS di sini.

"Terdapat pilihan raya olok-olok, analisis oleh pakar-pakar pilihan raya, kuiz dan pemeriksaan kesihatan oleh Sime Darby Healthcare.

"Seperti yang anda tahu, penjagaan kesihatan adalah sebahagian besar daripada kempen," katanya, berjenaka pada majlis yang diadakan di Hotel Grand Millenium, Rabu.

Jones berkata beliau "amat kagum" apabila ramai pelajar Malaysia dan antarabangsa mengambil bahagian dalam pilihan raya olok-olok dan agak berpengetahuan mengenai dasar Obama dan Romney.

Pelajar Perhubungan Antarabangsa, Universiti Nottingham, Mishaal Pervaiz, 23, berkata dia telah mengundi Obama dalam pilihan raya olok-olok kerana percaya dengan polisi penjagaan kesihatan, cukai dan dasar luar negara.

"Saya fikir Obama layak untuk penggal kedua. Pendekatan kuasa yang 'lembut' dalam dasar luar negara telah menampakkan kesan," kata pelajar dari Dubai ini.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr KS Nathan berkata penggal kedua untuk Obama memberi manfaat kepada Asean.

"Saya fikir penerusan dasar luar Obama, berdasarkan kerjasama dan dialog, adalah baik untuk rantau ini.

"Kami mahukan lebih keamanan, pembangunan ekonomi dan keselamatan.

"Ini mesti dibangunkan dengan melibatkan kerjasama kedua pihak, kuasa-kuasa serantau dan luaran," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain