suria

Pengurus Didakwa Beri Rasuah Kepada Ejen Kerajaan

KUALA LUMPUR: Pengurus pembangunan perniagaan sebuah syarikat perkapalan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang ejen kerajaan Malaysia, Julai lepas.

Cheong Yew Huat, 40, dari Puchong, didakwa memberi suapan wang tunai RM2,000 kepada Leftenan Komander (Maritim) Muhamad Suhairy Hussain, 32, yang bertugas sebagai Pengarah Siasatan Daerah dan Pegawai Staf Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Melaka.

Tertuduh didakwa memberikan wang tersebut kepada Suhairy sebagai balasan kerana telah melepaskan sebuah kapal, Hua Xia 8, milik syarikat Xinjunye Shipping (M) Sdn Bhd yang ditahan pada 22 Julai lepas oleh APMM kerana melanggar peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Cheong didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan meletak kenderaan sebuah hotel di Putrajaya, pukul 8.45 malam pada 26 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan syarat tambahan menghendaki pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Satwant Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah agar mengurangkan jaminan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 6 Dis depan untuk sebutan kes. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain