suria

Mahkamah Persekutuan Akan Putuskan Berhubung Campur Tangan Mahkamah Perusahaan Dalam Pemecatan Pekerja

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada Mahkamah Perusahaan boleh campur tangan dengan keputusan seorang majikan yang memecat pekerjanya bagi salah laku.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, mempengerusikan panel lima anggota, memberi kebenaran kepada Norizan Bakar, bekas pembantu peribadi pengerusi Panzana Enterprise Sdn Bhd, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepadanya.

Hakim Raus berkata persoalan undang-undang adalah penting dan perlukan jawapan daripada mahkamah tertinggi itu.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Hashim Yusof, Datuk Suriyadi Halim Omar, Datuk Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali, sebulat suara membenarkan permohonan Norizan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung satu persoalan undang-undang.

Persoalan itu ialah sama ada Mahkamah Perusahaan boleh menimbangkan keputusan majikan untuk memecat pekerjanya sebagai terlalu keras walaupun majikan telah membuktikan pekerja itu telah melakukan salah laku.

Siasatan dalaman diadakan pada 10 November, 1999, terhadap Norizan atas empat pertuduhan, termasuk pertuduhan melanggar tataetika Panzana yang pekerjanya tidak boleh mendedahkan dan mendapatkan kelulusan bertulis daripada ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat berhubung kepentingan beliau (Norizan) sebagai pengarah sebuah syarikat lain iaitu NK Media Sdn Bhd.

Tataetika syarikat itu menetapkan seorang pekerja yang didapati melanggar tataetika itu boleh dikenakan tindakan disiplin tegas, termasuk diberhentikan kerja.

Panel siasatan dalaman itu mendapati Norizan bersalah terhadap empat pertuduhan itu dan menamatkan perkhidmatannya menerusi surat bertarikh 18 Nov, 18, yang mendorongnya (Norizan) memfailkan tuntutan diambil bekerja semula di Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Menteri Sumber Manusia kemudian merujukkan perkara itu ke Mahkamah Perusahaan untuk diputuskan.

Pada 5 Januari, 2006, Mahkamah Perusahaan memutuskan pemecatan Norizan dibuat tanpa sebab atau alasan yang adil walaupun ia (Mahkamah Perusahaan) mendapati Norizan bersalah terhadap pertuduhan keempat itu melanggar tataetika syarikat.

Walaupun Mahkamah Perusahaan mendapati Norizan bersalah bagi salah laku mengikut pertuduhan keempat, ia (Mahkamah Perusahaan), bagaimanapun menyatakan ia hanya kesalahan kecil dan hukuman yang diambil Panzana untuk memecatnya adalah terlalu tegas.

Mahkamah Perusahaan kemudiannya mengeluarkan perintah agar Norizan dibayar RM109,000 bagi tunggakan gaji dan RM39,000 sebagai pampasan tidak diambil bekerja semula.

Susulan itu Panzana memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan tetapi tidak berjaya. Syarikat itu merayu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 10 Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Panzana untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan yang memerintahkan syarikat itu membayar tunggakan gaji dan pampasan kepada Norizan. - BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain