suria

Dewan Rakyat TolaK Bincang Usul Kapal Perang AS

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Khamis menolak usul tergempar bagi membincangkan mengenai kehadiran dan lawatan pelbagai jenis kapal perang milik Amerika Syarikat (AS) ke dua pelabuhan utama di negara ini.

Ketika menolak usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tiada keperluan untuknya menangguhkan sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 yang sedang berlangsung di peringkat dasar bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

"Saya mahu ahli-ahli yang berhormat fokus membahaskan mengenai bajet. Jadi tak perlu tangguhkan sesi ini untuk bincangkan mengenai usul itu.

"Tapi yang berhormat boleh bangkitkan mengenai isu berkenaan untuk dijawab oleh kementerian apabila tiba giliran menteri menjawab," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menolak usul yang dikemukakan Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membincangkan berkaitan kehadiran pelbagai jenis kapal AS di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Telok Sepanggar di Sabah.

Usul yang dibawa Kamaruddin turut menyentuh mengenai kapal induk pesawat udara AS, USS George Washington yang melakukan persinggahan sulung di Pelabuhan Klang selama lima hari sejak Ahad lalu bertujuan antara lain mempromosikan kerjasama dan hubungan dua hala antara AS dan Malaysia.

USS George Washington yang berkhidmat sejak 4 Julai 1992 dengan 5,000 anak kapal dijadual menganjurkan 11 lawatan untuk ahli perniagaan Malaysia dan pegawai tentera.

Kapal itu bersama sayap udaranya Carrier Air Wing 5, menyediakan pasukan siap siaga untuk bertindak yang melindungi dan mempertahankan kepentingan maritim AS dan sekutunya di rantau Asia Pasifik.

Artikel Lain