suria

Kes Rompakan Mesin ATM Masih Terkawal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kes rompakan melibatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilaporkan oleh institusi perbankan sehingga September tahun ini berbanding hanya lima kes tahun lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan pada Selasa.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata ia masih berada dalam keadaan terkawal sambil menarik perhatian bahawa terdapat lebih 11,000 mesin ATM di seluruh negara.

"Walaupun ada peningkatan kes tetapi ia masih terkawal berikutan ciri-ciri keselamatan yang diaplikasi di mesin ATM oleh pihak bank," katanya ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Fong ingin tahu mengenai ciri-ciri keselamatan baharu yang digunakan bank di negara ini bagi membendung kejadian rompakan mesin ATM.

Awang Adek menjelaskan antara ciri keselamatan yang diguna pakai ialah pemasangan penggera api di kawasan mesin ATM bagi mengelak cubaan rompakan menggunakan alat pemotong besi gas oxy-acetylene.

Beliau berkata institut perbankan tempatan perlu memenuhi standard minimum antarabangsa bagi memastikan mesin ATM kebal daripada cubaan membukanya secara paksa, selain mempunyai daya tahan tinggi.

Tambah beliau, pihak bank mesti memastikan tiada ruangan kosong antara kaki mesin ATM dan lantai bangunan dengan menggerudi mesin itu ke lantai bagi mengelak ia dialihkan termasuk melalui penggunaan jentera berat.

Selain itu, kawalan keselamatan di kawasan berisiko tinggi oleh pengawal keselamatan dan unit rondaan bergerak digunakan untuk mengawasi mesin ATM yang terletak di luar premis. BERNAMA

Artikel Lain