suria

Umat Islam Perlu Bersatu, Olah Kekuatan Pembangunan Ummah - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu bijak mengolah kekuatan yang dimiliki selain memperkukuh perpaduan antara satu sama lain bagi memastikan mereka menjadi lebih berpadu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata walaupun mempunyai pelbagai mazhab, budaya dan bahasa, umat Islam harus mencari titik persamaan yang boleh menyatu kuat umat Islam seluruh dunia.

"Umat Islam harus menggunakan sebaiknya kekuatan yang dimiliki untuk kebaikan dan kecemerlangan Islam pada masa hadapan. "Semangat untuk mengenali antara satu sama lain tentu akan boleh melebar luaskan lagi kekuatan Islam dalam konteks ekonomi, pendidikan dan sosial," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Antarabangsa Islam di Asia dan Oceania di sini, Selasa.

Berucap di hadapan lebih 200 cendekiawan dan ahli akademik dari negara-negara berkenaan, Jamil Khir berkata melalui perpaduan, dunia Islam mampu bangkit mengecam kezaliman dan kekejaman yang berlaku ke atas kelompok minoriti umat Islam di beberapa negara. Sebagai contoh, katanya, Malaysia turut membantu menyelesaikan tekanan konflik puak pemisah yang mengancam penduduk Muslim di Mindanao, Filipina apabila perjanjian damai bakal ditandatangani di Manila pada Isnin depan.

Jamil Khir juga melahirkan kebimbangannya apabila umat Islam sentiasa dianggap sebagai golongan yang mundur dan dikekang dari berkembang dengan arus permodenan. Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa konsep wasatiyah perlu dipraktikkan oleh umat Islam ke arah melahirkan generasi umat Islam yang unggul.

Persidangan tiga hari itu yang bertemakan 'Perspektif Sejarah, Kebudayaan dan Global' bertujuan menyebarkan ajaran Islam di benua Asia dan Oceania serta untuk menonjolkan nilai-nilai toleransi dalam Islam.

Ia dianjurkan bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamaduan Islam (Istac), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco), Persekutuan Universiti-universiti Islam Dunia (FUIW) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain