suria

Geng Curi Kenderaan Di Lembah Klang Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan "Geng Sek Taw" yang aktif mencuri kenderaan di sekitar Lembah sejak tiga bulan lepas dengan tertangkapnya dua lelaki anggota kumpulan itu di Cheras dan Pandan Perdana di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata susulan penangkapan lelaki warga tempatan itu, polis menemui semula sembilan kenderaan pelbagai jenis dan peralatan pertukangan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

"Suspek berumur lingkungan 38 tahun itu kemudiannya membawa polis ke beberapa lokasi di kawasan tersebut, sekaligus membawa kepada penemuan kenderaan terbabityang diletakkan di tepi jalan, parkir awam dan kawasan perumahan, dipercayai untuk dijual.

"Siasatan mendapati lapan jenis kenderaan terbabit dicuri di kawasan Lembah Klang dan sebuah di Pahang, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM400,000," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau berkata kenderaan terbabit ialah dua buah Proton Waja serta masing-masing sebuah Proton Wira Aeroback, Kia Optima, Kia Caren, Naza Citra, Hyundai, Toyota Hillux dan Mitsubishi Lancer.

Mohan Singh berkata dengan tertangkapnya dua lelaki berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan 21 kes curi kereta dan 13 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, 411 Kanun Keseksaan dan 414 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan, katanya.

Berhubung kes pemandu teksi yang ditemui mati dengan kesan tikaman di perut dan kecederaan di kepala di tanah perkuburan Kristian di Jalan Kuari, Taman Midah di sini semalam, Mohan Singh berkata identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Beliau berkata polis telah mengunjungi ke alamat seperti yang tertulis pada 'call card' yang ditemui di dalam teksi mangsa tetapi kediaman tersebut tidak berpenghuni.

Mayat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditemui terbaring di tepi jalan oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 malam manakala teksinya dijumpai kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain