suria

Lima Lelaki Bersenjata Larikan Wang Tunai RM1 Juta Dari Van Keselamatan

KLANG: Lima lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai kira-kira RM1 juta dari sebuah van keselamatan sebelum bertindak membakar kenderaan itu di Jalan Tiong Off Jalan Eng Ann di sini petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, van keselamatan terbabit berhenti di sebuah kedai nombor ekor di Jalan Meru di sini untuk mengutip wang hasil pertaruhan judi sebelum didatangi suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna hijau.

Beliau berkata beberapa lelaki kemudian turun dari kereta tersebut, dan dipercayai mengacukan pistol ke arah pemandu van yang sedang membawa wang hasil pertaruhan itu bersama rakan setugas untuk menaiki van, yang turut dinaiki oleh beberapa suspek.

Mohd Shukor berkata mereka juga mengarahkan pemandu van untuk memandu kenderaan itu, sambil salah seorang dari suspek mengekori dengan menaiki Waja terbabit .

"Setibanya di Jalan Tiong Off Jalan Eng Ann, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, salah seorang suspek telah mengambil satu senjata api milik pengawal keselamatan terbabit sebelum mengarahkan kedua-dua mangsa keluar dari van dan melarikan diri," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Shukor berkata suspek kemudian mengambil dan melarikan beberapa karung berisi wang tunai kira-kira RM1 juta dari van sebelum bertindak membakar kenderaan itu.

"Polis yang bergegas ke tempat kejadian kemudian menemui van berkenaan dalam keadaan terbakar dan hasil pemeriksaan mendapati wang tunai RM1 juta telah dilarikan, bagaimanapun RM500,000 lagi masih berada di dalam van terbabit.

"Walau bagaimanapun sebahagian wang itu sudah terbakar," katanya. Beliau berkata gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain