suria

Pemandu Lori Terkejut Dua Lelaki Bermotosikal Lepaskan Tembakan

KLANG: Seorang pemandu lori dikejutkan daripada tidur awal hari ini oleh bunyi dua das tembakan di hadapan rumahnya di Jalan Tun Razak, Taman Sri Andalas di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata lelaki berusia 55 tahun itu ternampak dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna hitam ketika beliau keluar ke hadapan rumahnya untuk menyiasat.

"Seorang daripada lelaki itu kemudian melepaskan dua lagi tembakan ke arah rumah mangsa sebelum melarikan diri," katanya di sini Ahad.

Mohamad berkata pemeriksaan polis mendapati dua lubang kesan peluru pada pintu depan dan dua pintu cermin rumah mangsa pecah.

Polis menjumpai enam kelongsong peluru di luar pagar rumah dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serta membuat laporan polis pukul 6.15 pagi kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

Motif kejadian sedang disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain